09 January, 2013

Win Heart & Mind Sukarelawan Zoo Taiping





Untuk permulaan tahun ini aku nak revise balik apa aktiviti yg aku dah join sepanjang tahun 2012.



Setelah dilantik menjadi sebahagian dari ahli jawatan kuasa Sekretariat Rakan Muda UPM bagi penggal 2012, Program Win Heart & Mind Sukarelawan Zoo Taiping merupakan program julung kali kami jayakan. Program ini merupakan gabungan kerjasama antara ahli-ahli SRMUPM dan anak-anak yatim di daerah Taipng.


Pada pagi 25hb Mac 2012, kehadiran Anak-Anak Yatim Taiping disambut dengan ucap tamu suci lantas mengheret deret senyum tetamu kehormat. Anak-anak kecil ini mula meruntun kalbu kami melalui bait rasa menerusi lagu ‘Anak Soleh’ lantunan emas, Aeman. Secara drastik kami terpaku dan terkedu dan mula merasai bahang kekurangan rasa kecintaan dari ibu bapa yang mereka alami bersama. Majlis suai tamu itu diakhiri dengan salam perkenalan antara ahli-ahli SRMUPM dan kemudian ucap rasmi pelepasan bagi memulakan sesi pembersihan di dalam kawasan Zoo.

Semua peserta dikehendaki untuk membersihkan kandang-kandang haiwan, dan segenap pelosok kawasan Zoo. Kami dibahagikan dengan beberapa kumpulan bagi melengkapkan objektif program dimana mengeratkan silaturrahim dalam kalangan ahli SRMUPM dan anak-anak Yatim.


Antara yg tidak dapat dilupakan, kami melalui saat sukar dalam proses membersihkan kandang harimau. Ngauman dan gerakan pantas sang belang begitu mengujakan dan menggerunkan kami. Keluar peluh jantan ketakutan tapi mujur keadaan stabil dan kami berjaya membersihkan sekitar kawasan tersebut dengan jayanya.



Selepas sesi pembersihan, kami dijemput untuk ke rumah anak yatim yang terpilih untuk melihat sendiri keadaan dan bertemu dengan pengelola rumah kebajikan tersebut. Jelas terpampang suasana muram di dalam rumah tersebut. Walau tiada riak cebik di bibir mereka, tapi jelas di mata mereka menceritakan segala-galanya.


Semasa tuan rumah menceritakan perih jerih dalam membina dan membangunkan Rumah Anak yatim tersebut, terdengar tangis dari kalangan anggota SRMUPM. Betapa bersyukurnya di hati kami kerana memiliki kemewahan kasih sayang dari ibu bapa dan betapa sedihnya melihat mereka sugul tanpa belas rasa dari yang tercinta.



Semasa melangkah keluar dari pintu rumah anak yatim itu, aku dapat rasakan aura yang begitu mencengkam jiwa. Kepala ku seakan tidak mampu untuk menoleh kebelakang untuk melambai isi rumah anak yatim tersebut.. Kepala ku tertunduk menghadap tanah ditambah dengan titisan dan esakan kecil simpati terhadap nasib yang di alami oleh mereka. Sepanjang perjalanan kaki kira-kira 200M kearah bas, aku melihat suasana muram menyelubungi kami. Terlihat kebanyakan dari kami berjalan berseorang dan meratapi kesedihan apa yang baru kami lihat sebentar tadi.

Tahniah kepada Akram Hanafi selaku pengarah projek kerana berjaya menjayakan program ini dengan berkesan dan meninggalkan memori mendalam kepada kami. Tahniah.



No comments:

Post a Comment