01 September, 2011

1 September - tiada kata secantik bahasa

Bertitik tolak pada satu tiang seri. Kini telah punya dua. Cantik parasnya pada luar. Bumbung dibina sedikit-sedikit, langsir dipasang besar-besar, hamparan tikar cantik dibentang, taburan wangian mengisi ruangan. Indah. Sungguh memukau. Cantik indah berseri disapa pelbagai cara. Manusia sekeliling memuji kacak pesonanya. Lantaran pelbagai bahasa manusia dilempar, tiang seri terus gah berdiri meniti hari mukanya.

Namun yang indah tidak semesti selama, yang panas juga pasti sementara. Jilatan api amarah sering menjadi pemuat kalangan rasa. Titipan rasa manusia melibas cuping telinga sang penerima. Tiang kebanggaan hampir runtuh tanpa sahutan, namun berjaya lekang dek tahan sabar. Sabar sabar dan terus sabar.

Sabar punca nadi kekuatan manusia. Kekuatan segala. Tanpa sabar, segala yang di abadi bisa runtuh menghempap kepala! Berdarah…berdarah. Kadang bisa diubat dan sembuh. Namun adakalanya terubat tapi tiada istilah sembuh. Manusia. Sering berpijak pada danau lembut. Realiti tidak dicanang sebenar rasa, namun yang maya menjadi pengisi segala kata.

Alhamdulillah. Dengan izin Dia, kami telah sedar yang kami hanya manusia. Tiada lebih mana, tiada kurang semua. Utuh binaan kami hanya kerana hendak-Nya. Jatuh mahligai kami adalah kerana punca-Nya. Kami redha atas segala yang tercatat. Dicatit segala tanpa kita tahu, dikira segala tanpa kita sedar.

Satu tahun. 365 hari kami jelajahi cerita ini. Cerita yang tiada tara. Hanya kami berdua pelakon acara. Tiada secalit binasa rasa luar manusia biasa. Tapi rasa antara dua dunia yang terbina. Menjadi satu. Satu.

Tiang seri ini diharap kekal buat selama. Selama bumi ini terus mekar, selama itu akan kami cuba pertahankan. Namun, Itu semua melalui perkiraan-Nya.

SELAMAT ULANG TAHUN PERTAMA. Tiada kata boleh dilafaz. Hanya catatan ini menjadi bekal dunia. Kali ini. Saat ini. Ingin ku katakan. Aku cinta padamu.




6 comments: