13 February, 2013

Husin Mon dan Jin Pakai Toncit










Usai sudah menjiwai Husin, Mon, Jin Pakai Toncit.  Filem yang ditunggu jelata Malaysia bagi melihat sisipan dari kaca mata Mamat Khalid tentang perihal filem. Selama mana ini kita disogok dengan pelbagai jalur rencah pengkarya Malaysia yang tidak selari dengan Mamat Khalid. Dia merupakan satu satunya dalam industri ini. Berbeza. Memang berbeza.

Pada awalnya momentum diri sudah disiat siat dengan kejanggalan yang mana berbeza rasanya dengan kehendak jiwa. ‘Ini bukan yang aku mahukan menerusi Mamat Khalid’. Babak demi babak disusun seperti begitu dibuat buat dan begitu mengelirukan. Lantunan plot juga sedikit demi sedikit membinasakan jiwa sehingga hati ini berasa mahu meninggalkan layar. Peluang demi peluang juga diberi dengan mengaplikasi erti sabar dalam menunggu peluang untuk menabik karya ini.

Sehinggalah Dr. Shamsuddin muncul dalam memulakan pengembaraan panjang ceritera ini. Dr Shamsuddin membawa unsur magical yang begitu dekat dengan unsur ‘dunia’. Doktor. Pangkat. Siapa yang menidakkan kata berpangkat? Siapa? Sinis bicara Mamat Khalid dalam menggubal watak Dr Shamsuddin. Kampung Pisang seakan tunduk dengan telunjuk Dr Shamsuddin atas dasar nama namun disebalik itu mereka tiada sedar atas kebinasaan yang sedang mereka bina melalui cara Dr.Shamsuddin.


Watak Husin juga berbeza. Kini Husin lebih pendiam dan kurang bertindak sebagai penyelamat namun lebih kepada pemangsa keadaan. Walau jua Husin bersuara, siapa yang akan percaya? Siapa Husin? Apa lebihnya dia dari Dr Shamsuddin? Tiada. Maka, terungkai mengapa Husin bertindak seakan mengumpul rajuk di dasar hati.

Hati suka melihat babak Dr Shamsuddin membaca mantera di sekeliling Balai Raya. Gaya dan personaliti tertumpah seperti gaya di dalam filem Luar. Kung Fu Hustle yang terlintas difikiran selama melihat babak ini. Tetapi tidak mengapa. Tiada salahnya. Cuma kagum dengan bahasa badan Dr Sghamsuddin yang begitu meyakinkan. Kesan khas yang digunakan juga menjadikan cerita lebih segar dan berbeza berbanding dua naskah Kampung Pisang yang lepas. 

Bertitik tolak kepada Zombi Kampung Pisang, kini telah dikitar segala isi naskah menerusi Hantu Kak Limah Balik Rumah hinggalah kepada yang terkini, Husin, Mon, Jin Pakai Toncit. Bagi saya, kita seharusnya melihat segala sudut dan meletak jiwa sepenuhnya dalam melihat kepada karya-karya nakal Mamat Khalid. Unsur-unsur luar jangkaan dan sinis menjadi intipati penting dalam mengembangkan jalur penceritaan sesebuah naskah si Mamat Khalid.

Ramai yang berkata naskah ini tidak segah karya sebelum. Tetapi tidak mengapa Mamat Khalid. Hati ini percaya dengan gagasan mu !

Biar mereka mengherdik,
Biar mereka meludah,
Jangan terasa terjentik,
Teruskan dengan karya merah.

79 %


No comments:

Post a Comment